sekarang,dibaca semula sebagai alat penampar diri semulajadi~
#tentang masa
Konsep masa dan ruang;satu keajaiban yang sentiasa diburu
para saintis. Masakan tidak, dalam dunia materialism yang perlu kita cermat
kendalikan, lambakan gadget canggih berfungsi utama- memudah urus pencapaian masa.
Namun tetap manusia dengan keterbatasan fizikal dan lingkungan emosi terkadang
menjadikan kita manusia leka.
Kita sering menanggapi
masa sebagai satu bebanan masalah. Alasan tak cukup masa acapkali kita luahkan.
Sedang ulama sukses terdahulu meski umur sedikit mampu menerbitkan infiniti senarai
sumbang saran untuk kebaikan generasi depan. Siapatah lagi yang dikurnia rezeki
umur panjang oleh Allah. Mungkin sahaja kita masih belum berusaha keras untuk teladani
faktor keberkahan mereka.
أللهم إنى أعوذبك من العجز والكسل
Lemah dan malas ialah penyakit yang merugikan masa. Sikap malas
berpunca daripada kelemahan mengurus masa. Apabila lemah daya tuju juga,nikmat
masa lapang,akal cerdas dan anugerah kesihatan akan kita siakan percuma walhal
kita maklum sesungguhnya tugas menghadam kewajipan lebih banyak daripada waktu yang terhidang.
Umum,kita agak cenderung
memilih kelalaian dan keseronokan bila mana kita kira malam masih awal. We are young katanya. Keliru mengasing
duduk letak perkara yang awla diselesaikan. Bertangguh dan beralasan agak
sinonim dengan peringkat umur kita. Iman bersifat naik dan turun,maka berdoalah
selalu agar gigih dalam pembikinan mujahadah diri.
Master the art of
timing!-Robert Greene,Laws of Power
Kuasa merancang adalah kunci kepada produktiviti. Tatkala pintunya
sudah terbuka,bersedialah untuk melalui terowong masa sama ada
bertatih,berjalan mahupun berlari. Gangguan pasti mengalih sistem fokus kita.
Di checkpoint ini,menentukan cepat atau
lambat ketibaan kita ke destinasi akhir matlamat. Boleh melayan kehendak
diri tapi awas, jangan terlalu asyik lalu terbuai. Teruk padahnya. Kerana
ada orang lain telah lebih padu dan laju
meninggalkan kita.
Alhamdulillah kini kita berada dalam fatrah riang ria cuti
musim dingin. Menemui peluang berehat selepas saban detik berteman akrab dengan
timbunan buku dan nota. Syukuri dan isi keluangan masa ini dengan bijak menurut
kapasiti dan kesesuaian masing masing. Ada antara kita musafir ke rantau orang
,berekspedisi mencabar upaya diri,mencambah nilai ilmu dan kemahiran, juga
menghubungkan jalinan sesahabat. Apapun aktiviti pilihan kita,berbuat ikhlaslah
selagi mana dalam ketaatan.
Ucapan mabruk muqaddam bagi mereka yang hari esoknya lebih
baik daripada hari ini yakni menggunakan kesempatan mengambil sebarang bentuk
ibrah untuk kembali kepada misi sebagai seorang pelajar kehidupan. Moga kepadatan
waktu yang kita laburkan kekal bermanfaat lantas menjadi saksi amalan saat
timbangan mizan kelak. Berbekal niat nan lurus,hadiahkan masa untuk ummah.
Selamat bercuti-cuti,kawan.
23.01.13
#haih.kalaulah menulis semudah (dan seringan) A sampai Z...