Pages

Monday, July 18, 2016

wanita

tiga puisi kesayangan kalau pasal wanita dan cintan cintun ni...

Perempuan dan Layang-Layang.

Ketika masih gadis sunti,
Sering ia berdiri di ambang jendela,
Kagum melihat layang-layang berwarna,
Menyanggah angin di angkasa,
Dimainkan rakan sebaya,
Di lembah hijau terbuka.

Ketika dewasa,
Dialah layang-layang itu,
Mengapung di angkasa,
Gerun memandang lembah,
Di sana berdiri teguh,
Seorang suami,
Mengendalikan talinya.


A.Wahab Ali - 1979

Surat Teja kepada Tuah
Sampai hati mu Tuah
Mawar cinta yang ku berikan
Kau bawa ke perhitungan
Kenanga dari sanggul ku
Kau sangkutkan ke singgahsana
Untuk mengharumkan nama mu.
Tuah, aku adalah perempuan malang
Yang harus merana, kerana paras rupa
Kecantikkan ku bukanlah satu dosa
Namun ia telah diperdagangkan
Dengan pintar percaturan lelaki
Seperti bunga pada sesedap gubahan
Dihujung lidah seorang Sultan.
Aku seperti perempuan lainnya
Telah dibesarkan oleh peraturan
Dihaluskan oleh adat.
Dengan suara yang dilembutkan untuk menerima
Diajar untuk pandai merelakan paksaan
Kerana itu adalah kesopanan
Yang menyempurnakan kejadian
Seorang perempuan
Barangkali akulah yang bersalah
Membina impian disayap perasaan
Untuk berbakti sebagai isteri
Sebuah impian yang indah
Dan amat biasa bagi seorang wanita.
Tapi apakan daya
Teja bukan perempuan biasa
Lahir dikamar kebesaran
Besar ditaman larangan
Amat jelita dan mulia
Untuk melayani impian yang terlalu biasa
Tuah juga bukan lelaki biasa
Hidupnya bukan untuk seorang Teja
Tuah lahir untuk menjadi wira
Dan Teja untuk menjadi boneka
Dalam legenda.

SN Zurinah Hassan-1991

MERINDUI PEREMPUAN INTELEGENSIA
Aku memang merindui
seorang perempuan intelegensia
yang sering bersimpuh di tikar polemik
dan berhabis wang membeli kosmetik wacana
dia mengenakan gegelang teori
dan rantai budi
dia memesan segelas Latte
sambil duduk diam di suatu sudut
menghadam Athill dan mengunyah Sophie
Dia berjalan laju
kerana dia mahu seperti Nafisah
katanya -- aku mahu tinggalkan segala duri
seperti Salina dan Hayati
lihat di kulit bukunya, terlukis
seperca peta berlorek pensel
lihat di tasnya, tersembunyi
kepingan syair Al-Khansa' dan Zurinah
dan kau lihat dia berhenti lama
di depan potret seorang Cleopatra
Aku teringat, kala
dia menghiris cermat tulisanku
dan mengutus padaku sekotak emel berjela
dengan pelbagai suntingan kata
katanya -- benarkah perempuan terlalu bergaya
dengan gaun emosi
bukan hijab intelegensi?
kataku -- bukankah indah andainya
gaunmu intelegensi
tetapi keronsang di dadamu adalah
sekeping nurani?
Tika aku tersebut nama Maryam dan Marwah
dia terus datang esoknya dengan seikat warkah
katanya -- kau tidak akan tahu
betapa ripuhnya kalbu
tika perempuan memilih bisu
-- kau hanya mampu memerhati
bukan mengerti
apa lagi merasai
Kini
aku tidak pasti
apakah dia masih
menyusun diksi
kala pelamin janji
memanggilnya pergi?
apakah dia masih
membancuh teori
di beranda diskusi
sambil tangan menggosok ubun
seorang bayi
suatu saat nanti?
Hafizul Faiz-2015

Sunday, June 12, 2016

harapan

dalam sedu sedan
dan diam berjalan
ada harapan yang tak pernah padam

Tuhan,
rebahku kau kuatkan
tidurku kau bangunkan
sakitku kau sembuhkan
kecewaku kau tenangkan

Semoga,
dosaku kau ampunkan.